Saturday 30 June 2012

Sehidup Semati


Bukan senang untuk mendapat kawan yang setia
Boleh berkawan waktu susah dan senang
Di waktu dukacita dan gembira
Di waktu kita buntu fikiran dialah yang memberi pandangan
Ketika tidak ada apa yang hendak dimakan dia beri bantuan
Boleh memberi pertolongan sebelum diminta, kerana faham masalah kawan
Apatah lagi apabila diminta.

Waktu sakit diziarahi, di waktu dapat nikmat dia melahirkan kegembiraan
Kesusahan kawan kesusahannya
Kesedihan kawan adalah kesedihannya
Keluarganya dijaga dan diambil berat tentang kehidupannya
Maruah kawan dan keluarganya amat dijaga
Ia merasakan maruah diri sendiri juga
Apabila sudah agak lama tidak berjumpa sudah tertanya-tanya
Apa halnya, apa masalahnya, lama tidak berjumpa
Kebaikannya dicerita-cerita dan dipuji-puji di belakangnya
Keaibannya ditutup dan kecacatannya tidak diumpat.

Mengutamakan kawan dari dirinya
Selepas mati keluarganya tetap dihubungi
Silaturrahim dengan keluarga kawannya selepas mati tetap ditolong
Aduh mana hendak dapat kawan di waktu ini
Macam kita gambarkan tadi.

Penulis pun belum boleh setia dengan kawan
Aku mohon ampun kepada Tuhan
Kerana belum boleh setia dengan kawan.

- Waullahu 'Alam -


Credit to http://baitulkasih.org.my


Thursday 21 June 2012

SELAMAT BERCUTI





SELAMAT BERCUTI KEPADA MAHASISWA/I DEGREE UniSZA...


SEMOGA GUNAKAN CUTI INi DENGAN MELAKUKAN PERKARA YANG BERFAEDAH..

JAGA KESELAMATAN SEPANJANG CUTI SEMESTER INI..SEMOGA BERTEMU LAGI..

Perang SAMSUNG VS APPLE ?





Dua syarikat telekomunikasi gergasi Samsung Electronics Co. dan Apple Inc. kini berlumba-lumba memberikan yang terbaik untuk memikat hati pelanggan.

Masing-masing menawarkan keluarga peranti dengan menggunakan platform berbeza dan kaedah pemasaran yang menarik.

Persoalannya siapakah akan kekal memegang takhta untuk tahun-tahun akan datang?

Seperti diketahui, Apple hanya mengeluarkan satu telefon pintar dan satu tablet setiap tahun selain menggunakan platform yang dibangunkan sendiri secara dalaman.

Perkara ini memberikan Apple lebih kawalan dan pada masa sama mengoptimumkan peranti mereka dengan menyeluruh bagi telefon pintar dan juga tabletnya sendiri.

Populariti iPhone dan juga iPad amat meluas, sehingga memberikan tekanan kepada pelbagai pengeluar peranti yang lain.

Samsung pula menggunakan strategi berbeza dalam mengukuhkan kedudukannya dalam arena industri peranti mudah-alih.

Samsung mempunyai pelbagai jenis tawaran peranti, memfokuskan bukan sahaja pada peranti dengan spesifikasi tinggi bahkan spesifikasi rendah bagi membolehkan semua pihak memiliki telefon pintar.

Ia menggunakan pelbagai platform termasuk BadaOS, Android, Windows Phone dan akan datang - Tizen. Kini Android amat popular berbanding yang lain.

Kedua-dua gergasi semakin popular dari hari ke hari, masing-masing mempunyai penyokong tersendiri.

Selain perang antara peminat, kedua-dua gergasi ini sering bertemu di mahkamah melibatkan beberapa kes saman.

Sekali lagi persoalannya, siapakah yang akan memenangi persaingan ini? Atau adakah kedua-duanya akan kekal sebagai dua nama besar dalam industri peranti mudah-alih dunia?

Apple dan Samsung seharusnya jelas bahawa industri telefon pintar semakin terbahagi kepada ada atau tidak.

Kedua-dua syarikat dijangka melaporkan rekod pendapatan masing-masing untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebahagian besarnya hasil kekuatan jualan telefon pintar.

Tidak syak lagi, kedua-dua syarikat gergasi ini berjaya menguasai hampir separuh pasaran telefon pintar, meninggalkan pesaing lain seperti Nokia Corp., HTC Corp. dan Research In Motion Ltd. (BlackBerry).

Apple dan Samsung, musuh dari dua benua berjaya menggunakan ‘senjata’ yang sangat berbeza.
Apple, syarikat yang paling berharga di dunia, menjual hanya satu telefon iaitu iPhone.

Syarikat Cupertino, California, menekankan reka bentuk dan keuntungan ke atas jualan, selain banyak melabur dalam jenama pengguna dan kedai-kedai runcit yang dikawal ketat.

Syarikat berkenaan mendapat faedah daripada ekosistem perisian dan aplikasi yang kukuh.

Sementara itu, Samsung adalah syarikat teknologi terbesar di dunia mengikut skala perolehan tahun lepas.

Syarikat Korea Selatan ini cepat belajar, membuat pertaruhan dengan mewujudkan versi pelbagai produk seperti telefon pintar Galaxy untuk memenuhi citarasa pengguna.

 Ia memaksimumkan keuntungan dengan mengawal pengeluaran sendiri.

Samsung membuktikan ia mampu untuk terus mara dengan pelbagai model daripada yang ringkas kepada paling canggih seperti Galaxy Notes dan Samsung Tab.

Pasaran

Menurut firma penyelidikan International Data Corporation (IDC), Apple dan Samsung masing-masing hampir menguasai 25 peratus pasaran global bagi telefon pintar yang dianggarkan mencapai AS$219 bilion dalam jualan tahun ini.

Bahagian pasaran Apple mencapai 23.5 peratus, meningkat 16 peratus berbanding akhir 2010.
Samsung pula memegang 22.8 peratus daripada pasaran suku yang sama, meningkat daripada 9.4 peratus.

Sebuah firma penyelidikan pasaran yang berpangkalan di London, Strategy Analytics melaporkan, gabungan Apple dan Samsung bakal merebut 91 peratus daripada keuntungan operasi semua pembuat telefon bimbit pada suku keempat.

“Pada peringkat ini, ia tidak kelihatan seperti kedua-duanya akan beralah," kata seorang penganalisis teknologi di Credit Suisse di Hong Kong, Manish Kaun.

Perjuangan untuk menjadi yang terbaik mencetuskan pertempuran antara Apple dan Samsung.

Pada April tahun lalu, Apple menyaman Samsung kerana paten reka bentuk dan telefon pintar.

Samsung menyerang balas dan pertempuran undang-undang mereka merebak ke mahkamah di sembilan buah negara.

Bekerjasama

Bagaimanapun kedua-dua gergasi juga telah belajar untuk bekerjasama antara satu sama lain.

Apple adalah pelanggan terbesar bagi bahagian komponen Samsung yang membuat skrin paparan dan cip.

Pertempuran dalam perundangan tidak memperlahankan jualan atau prestasi kewangan syarikat masing-masing.

Kedua-duanya, Apple dan Samsung enggan mengulas mengenainya.
"Ia tidak akan menjadi perlumbaan dua gergasi selama-lamanya," kata Ketua Penyelidikan bagi Bank Pelaburan Rutberg & Co, Rajeev Chand.

Beliau mencatatkan bahawa pemain yang lebih kecil seperti pembuat peralatan telekomunikasi, Huawei Technologies Co. bakal berkembang walaupun pada skala kecil.

“Industri telefon telah dicorakkan dengan kitaran produk yang bergerak pantas dan jika satu kitaran terlepas, menyebabkannya tergelincir.

"Industri ini bergerak dalam kitaran di mana beberapa syarikat menguasai beberapa ketika dan kemudian diganti dengan yang lain," kata Pengarah Eksekutif di Strategy Analytics, Neil Mawston.

"Pada tahun 1980-an, Motorola menerajui pasaran telefon bimbit, diikuti Ericsson dan menjelang 2000 Nokia mengunggulinya. Kini, masa Apple dan Samsung."

Pemain industri berkenaan sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk bertindak balas terhadap peningkatan penguasaan kedua-dua syarikat.

Momentum Samsung semakin menarik dengan penganalisis menjangkakan syarikat berkenaan, bergantung sepenuhnya kepada telefon yang dijana oleh perisian Android Google Inc., untuk menggandakan bilangan penjualan telefon pintar tahun ini.

Berdasarkan maklumat IDC, tahun lepas, Samsung menjual 94 juta unit berbanding 93.2 juta unit Apple.

Samsung telah dapat merebut pasaran pengganti Nokia dengan membawa pelbagai sistem operasi dan apabila muncul Android dengan meletakkan lebih banyak aplikasi yang menggunakan perisian berkenaan.

Samsung menggunakan strategi yang sama apabila produk elektronik yang lain, seperti televisyen dan pemain DVD melalui peralihan teknologi.

Samsung juga telah mendapat manfaat daripada keinginan menawarkan alternatif kepada iPhone, memberikan mereka lebih banyak produk untuk dipamerkan di kedai dalam beberapa kategori harga.

Seperti Apple, skala Samsung membolehkan ia membayar harga yang lebih rendah bagi komponen daripada pesaing.

Samsung telah mencipta lima peringkat telefon berasaskan Android yang dibezakan oleh harga dan ciri-ciri dengan setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri.

SUMBER:http://www.utusan.com.my

Wednesday 20 June 2012

NIE Semua Salah Ayah!!!



 Mungkin ibu lebih kerap menelefon untuk menanyakan keadaan kita setiap hari..Tapi tahukah kita, sebenarnya ayahlah yang mengingatkan ibu untuk menelefon kita? Semasa kecil, ibulah yang lebih sering mendukung kita. Tapi tahukah kita bahawa sebaik saja ayah pulang dari bekerja dengan wajah yang letih ayahlah selalu menanyakan apa yang kita lakukan seharian. Saat kita sakit atau demam, ayah sering membentak, "Sudah diberitahu! Jangan minum ais!". Tapi tahukah kamu bahawa ayah sangat risau?? Ketika kita remaja, kita meminta izin untuk keluar malam. Ayah dengan tegas berkata, "Tdak boleh!". Sedarkah kita bahawa ayah hanya ingin menjaga kita? Kerana bagi ayah, kita adalah sesuatu yang sangat berharga. Saat kita sudah di percayai, ayah pun melonggarkan peraturannya. Maka kita telah melanggar kepercayaannya. Maka ayahlah yang setia menunggu kita di ruang tamu dengan rasa sangat risau. Setelah kita dewasa,ayah telah menghantar kita ke sekolah atau kolej untuk belajar. Disaat kita memerlukan itu ini, untuk keperluan kuliah kita, ayah hanya mengerutkan dahi. Tanpa menolak, beliau memenuhinya. Saat kamu berjaya. Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan bertepuk tangan untukmu. Ayah akan tersenyum dengan bangga. Sampai ketika jodoh kita telah datang dan meminta izin untuk mengambil kita dari ayah. Ayah sangat berhati-hati mengizinkan nya. Dan akhirnya, saat ayah melihat kita duduk di atas pelamin bersama pasangan, ayah pun tersenyum bahagia. Apa kita tahu, bahawa ayah sempat pergi ke belakang dan menangis? Ayah menangis kerana ayah sangat bahagia. Dan dia pun berdoa, "Ya Tuhan, tugasku telah selesai dengan baik. Bahagiakanlah putera puteri kecilku yang manis bersama pasangannya". Setelah itu ayah hanya akan menunggu kedatangan kita bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk. Dengan rambut yang memutih dan badan yang tidak lagi kuat untuk menjaga kita..

 TERIMA KASIH AYAH :')

**Kasih ayah tidak ternilai dengan wang dan harta benda...
**Kita tengok video nie...

Tuesday 19 June 2012

PENA BERWAJAH BARU








PENA ingin memberitahu bahawa telah dewasa dan berwajah baru...PENA harap anda semua gembira..terima kasih kerana memberi sokong kepada kami.. Anda juga boleh melayari Facebook dan Group Pena...Pena UniSZA dan  group PENA MAHASISWA UniSZA...

Selain itu, anda boleh juga berkongsi aktiviti atau sebarang maklumat disini..

WE LOVE UniSZA...

Saturday 16 June 2012

Mahasiswa Perlu Tahu!!!

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia

Pena ingin kongsi satu maklumat yang berguna kepada mahasiswa dan mahasiswi UniSZA. Mungkin ramai mahasiswa tidak mengetahui Pengurusan Tertinggi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)..

Pena ingin kongsi maklumat ini dengan mahasiswa semua..

                   


              Pena ringkaskan disini :
                                                                  Vice Chancellor
                                                     Dato' Profesor Dr. Alias bin Daud
                                           
                                                                 Deputy Vice Chancellor
                                                         (Academic and International Affairs)

                                                           Profesor Dr. Amran bin Ahmed

                                                                 Deputy Vice Chancellor
                                                                (Research and Innovation)
                                                    (Dikosongkan buat sementara waktu)

                                                                           Registrar
                                                   Associate Professor Dr. Nik Wan bin Omar 

                                                                         Treasurer
                                                        Baharin bin Salim @ Abdullah 
                               


 ****Pena harap dengan maklumat ini dapat membantu mahasiswa apabila ditanya Pengurursan Tertinggi Universiti..

Friday 15 June 2012

Macho Bila ada Line Di Rambut...



Inilah budaya yang cuba diikuti oleh anak -anak muda pada masa kini..Ketahui lah bawa membuat QAZA adalah HARAM disisi agama ISLAM..

Thursday 14 June 2012

Antara 6 Kelebihan Hari Jumaat


Semoga Jumaat Ini Menjadikan Kita Seorang Hamba Allah Yang Lebih Bertaqwa, Lebih Menyantuni, Lebih Berjaya Dan Lebih Cemerlang…DUNIA & AKHIRAT!

1. Berlakunya Hari Qiamat.
Dalam suatu hadis riwayat Muslim, RasuluLlah SAW ada menyebut bahawa:

“Pada hari Jumaat juga qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.”
Dalam hadis lain, RasuluLlah SAW bersabda yang bermaksud :
“Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”
2. Nabi Adam Diciptakan Dan Baginda Juga Disingkirkan Dari Syurga.

Hari ini nabi Adam a.s diciptakan, dan hari ini jugalah beliau diturunkan daripada syurga. Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam a.s. diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.”
3. Penghulu Segala Hari.

Jumaat ini adalah hari yang sangat-sangat istimewa kerana Islam meletakkan Jumaat itu ketua dan lebih sedikit ganjarannya berbanding hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).” Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan pada hari ini termasuklah Solat Jum’aat.


4. Selamat Dari Fitnah Kubur Bagi Yang Mati Pada Hari Jumaat.

Menurut Rasulullah SAW:
“Tidak seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau pun malam Jumaat, melainkan diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.”
5. Kebaikan Dengan Memotong Kuku.

Ibnu Masud berkata, “Sesiapa yang memotong kuku pada hari Jumaat, Allah akan menyembuhkannya daripada penyakit dan memberikannya keselamatan.”

6. Makbulnya Doa Di Antara Dua Khutbah.
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah yang bermaksud:
“Pada hari Jumaat ada satu saat yang bertepatan dengan orang Islam ketika dia sedang sembahyang, di mana tatkala ia berdoa maka doanya itu akan dimakbulkan.”
Dan RasuluLlah SAW menunjukkan isyarat tangannya yang membawa maksud sedikit sahaja waktu itu.

Abi Burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a berkata bahawa beliau pernah mendengar bahawa Abdullah bin Umar r.a pernah mendengar bahawa RasuluLlah SAW pernah menjelaskan bahawa waktu yang paling mustajab itu adalah waktu antara imam duduk di atas mimbar sehingga solat selesai didirikan. Hadith Rasulullah SAW daripada Jabar r.a pula mengatakan ianya adalah pada hari Juma’at, akhir waktu Asar. (Riwayat Abu Daud, An Nasa’iy dan Al Haakim)
Sabda Rasulullah SAW lagi :
“Solat lima waktu (sehari semalam) dan jumaat hingga jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Belajarlah dari sejarah demi masa depan

SEJARAH bukan benda mati. Malah sejarah tidak pernah mati. Tapi sejarah adalah cermin untuk menoleh masa lampau bagi menyuluh masa depan. Sebab itulah orang tua-tua selalu berpesan, belajarlah dari sejarah.

Kalau yang buruk janganlah diulangi, yang baik teruslah ditambah baiknya
.
Kalau menoleh sejarah awal industri filem di Singapura, Melayu hanya di depan kamera dan sedikit sahaja di belakang kamera. Orang Melayu dipancar kemilau bintang, tapi kemilau itu tak lama. Sedikit demi sedikit ia malap dan terus padam.

Yang mengaut untung dari kemilau orang Melayu di Singapura dulu adalah kapitalis Cina dari Hong Kong. Mereka adalah Run Run Shaw dan adiknya datang ke Singapura ketika usia 19 tahun.

Kemudian mereka membuka industri filem Melayu berpusat di Jalan Ampas, Singapura.
Shaw membawa pengarah filem dari India untuk mengarah filem Melayu. Mereka mengambil pelakon bangsawan dan cerita bangsawan untuk mengalih minat orang Melayu kepada filem, yang amat asing ketika itu. Filem ternyata berjaya dan membunuh teater tradisi bangsawan.

Kini Shaw sudah tiada. Tapi harta yang ditinggalkan sebahagiannya disumbangkan dari penerbitan filem di Singapura kepada cucu cicitnya. Mereka hidup mewah kerana kekayaan Shaw tak habis makan tujuh keturunan. Tapi bagaimana pula orang Melayu yang dulunya penuh kemilau di depan kamera? Mereka menyumbang kekayaan kepada kapitalis Cina ini akhirnya hidup dihimpit kesusahan.

Orang Melayu dipergunakan secara terhormat. Mereka didodoikan dengan populariti yang sementara. Tapi kapitalis Cina mengaut keuntungan sepanjang zaman. Sekarang ini kalau kita hendak menonton filem-filem Jalan Ampas, kena bayar berjuta-juta ringgit kepada pemilik hak ciptanya. Padahal itu filem kita.

 kalaulah ketika itu orang Melayu tidak mahu berkerja dengan kapitalis Hong Kong itu, apakah mereka boleh terus mengaut kekayaan dari negara ini? Apabila membaca penderitaan beberapa bintang popular zaman Jalan Ampas pada usia tuanya, Siti fikir kita kena mengambil iktibar daripada sejarah ini.

Bukan menyalahkan generasi pertama seniman filem kita itu. Tapi renungilah sejarah dan usah mengulangi sejarah itu pada masa ini. Kalau di Singapura dulu, orang Cina buat filem Melayu dan bawa balik kekayaan ke negara mereka. Sekarang janganlah biarkan orang lain kaut kekayaan hasil filem Melayu.

Tak usahlah tolong membodohkan Melayu dalam filem Melayu. Kemudian hasilnya memberi untung kepada orang lain, bukan orang Melayu. Siti fikir adalah tidak bermoral mereka yang bersekongkol memberi wajah buruk dan hodoh kepada orang Melayu. Siti fahamlah, kita semua ini kena berkerja untuk menyara keluarga. Tapi taklah sampai sanggup memburuk dan menghodohkan bangsa sendiri. Hasilnya pula tak sebanyak mana.

Kalau orang Melayu hodoh perangainya dalam filem Melayu, bukan tauke filem yang salah. Orang Melayu yang terlibat dalam filem Melayu itu yang salah. Mereka langsung tidak ada patriotik padahal kuasa di tangan mereka. Kalau mereka tidak mahu berlakon atau mengarah filem yang membodohkan Melayu, tauke tidak boleh buat apa-apa. Ini mereka yang lebih-lebih membodohkan Melayu dengan upah yang tidak sepadan.

Orang Melayu yang terlibat dalam filem begini segeralah insaf. Memanglah sekarang ini boleh hidup kaya raya, dapat bonus kereta mewah dan banglo mewah. Tapi itu sahajakah matlamat mereka? Fikirlah sama tentang bangsa Melayu ini.



Kita layan dulu lagu nie..saxophone oleh P.Ramlee

SITI JARUM: Peminat filem Tamil.

Wednesday 13 June 2012

Antara Euro 2012 dan Ratu Cantik



APA beza kejohanan bola sepak negara-negara Eropah atau Euro 2012, berbanding pertandingan Ratu Cantik? Tidak banyak. Mungkin daripada segi tempoh lama, kejohanan bolasepak Euro mengambil masa tiga minggu berbanding Ratu Cantik yang hanya seminggu. Tetapi tidak selama permainan kriket.

Persoalan di atas saya kemukakan kerana kebanyakan kaki bola sudah pun membuat ulang kaji mengenai pasukan dan pemain yang bertanding dalam Euro 2012, bermula Jumaat lalu. Kaki bola yang dimaksudkan itu merangkumi kedua-dua jantina, meskipun kadar kaum adam jauh lebih tinggi berbanding hawa.

Ekoran itu, kaum hawa sering diejek dalam ayat begini: ''Tatkala lelaki menonton permainan, wanita menonton pemain''. Maka berlakulah perdebatan setiap kali musim bolasepak sama ada Euro atau Piala Dunia atau Piala ASEAN. Namun, bagi anda yang sering ke stadium sama ada menyokong pasukan dalam Liga Perdana Malaysia atau menyorak skuad Malaysia, kehadiran penyokong wanita adalah ketara ramai.

Jika dulu lazimnya wanita datang bersama pasangan atau ahli keluarga tetapi kini, mereka datang sendiri dalam gerombolan kawan yang besar. Daripada segi sukan, pertambahan bilangan penyokong wanita adalah bagus, merangkumi aspek komersial iaitu pembelian jersi replika pasukan yang duitnya boleh dipusingkan semula ke dalam kelab.

Fakta bilangan wanita yang ramai meminati bolasepak, masih dipandang enteng oleh lelaki terutama yang tebal sifat chauvinis. Maka berulang kembali ejekan : ''wanita menonton pemain''. Wanita dituduh tidak mengerti pun bagaimana sesuatu format permainan, apa dimaksudkan set-pieces, formasi diamond atau counter-attacking.
 
Tuduhan lebih berat ialah wanita tidak tahu pun senarai pemain negara, kecuali hero-hero peribadi mereka yang bermain dalam kelab di Liga Perdana Inggeris atau Sepanyol. Betapa kekeliruan begitu kronik apabila seorang gadis yang ditemubual dalam radio mengenai Euro 2012 menjawab 'dia menyokong Argentina kerana Lionel Messi bermain untuk Barcelona'.

Bila wanita suka bolasepak kerana pemain, butir-butir perbualan mereka akan berkisar kepada ketampanan dan badan tegap Cristiano Ronaldo (Portugal), Robin van Persie (Belanda) dan Steven Gerrard (England). Ramai lagi sebenarnya. Ini sekadar contoh.

Persepsi ini juga tidak dibantu oleh stesen televisyen sukan yang mengenengahkan pengacara wanita dengan pakaian seksi dan tumpuan perbualan lebih kepada personaliti tampan. Namun kebelakangan ini, terdapat perubahan yang positif. Pengacara wanita tidak ditampilkan sebagai tarikan seks semata-mata dalam program bual bicara bolasepak.

Secara umumnya tuduhan itu semua akan setuju tetapi jangan pandang rendah. Ini kerana makin ramai wanita yang belajar mengenai teknik dan format bolasepak. Mempelajari format bolasepak bukan bermakna hendak melatih isteri menjadi pengurus pasukan suatu hari nanti. Malah, anda patut mendengar pernyataan marah orang rumah saya terhadap pengadil Hong Kong bagi perlawanan Malaysia dan Singapura, Jumaat lepas. Siap dengan perincian dari mula gerakan sehingga bagaimana Khairul Fahmi hilang fokus dan gol penyamaan di minit terakhir perlawanan tetapi jika diulangi pernyataan marahnya di sini, mungkin akan menyebabkan saya digantung oleh FIFA.

Seorang teman memberitahu, dia tidak lokek berkongsi pengetahuan dengan isterinya semasa menonton bola di televisyen. ''Dengan ilmu, isteri saya tidak akan cepat jemu dan boleh menemani saya sehingga tamat perlawanan," itu rasionalnya. Kalau sorak sama tidak mengapa. Kalau suami sokong Liverpool, isteri sokong Manchester United keadaan akan jadi agak sensitif.

Menurut satu kaji selidik firma Repucom terbaru, wanita di Jerman dan Itali kini mewakili hampir 50 peratus daripada keseluruhan penyokong negara tersebut

Malah ia jauh lebih tinggi berbanding England, yang mana Liga Perdananya adalah paling popular di dunia tetapi hanya menerima sekitar 33 peratus sokongan wanita.

Menurut kaji selidik itu, perbezaan angka sokongan itu ada kaitan dengan prestasi lemah England di peringkat antarabangsa tetapi impak ke atas jenama yang dijana oleh England begitu ketara pada jualan baju replika. Dalam konteks ini, England jauh ke depan.

Jadi apa bezanya menonton bolasepak dan pertandingan ratu cantik? Daripada segi penonton, secara kumulatif hampir 5 bilion dijangka menonton Euro sejak Jumaat lepas hingga 1 Julai ini. Setiap perlawanan dianggarkan menarik kira-kira 150 juta penonton di seluruh dunia.

                                                           
Bagi pertandingan ratu cantik pula, ia telah menarik lebih 1 bilion penonton di 190 negara menyaksikan Ratu Angola, Leila Lopes dimahkotakan sebagai Ratu Universe pada tahun lalu.

Sekiranya, lelaki cauvinis berterusan menempelak wanita sebagai 'menonton pemain, bukan permainan bolasepak', apa bezanya lelaki menonton pertandingan ratu cantik? Apakah kerana kaum lelaki menyokong program kebajikan yang diusahakan oleh seseorang peserta ratu cantik atau teruja dengan ayat 'demi keamanan dunia' semata-mata? Tiada beza, kan?

Tuesday 12 June 2012

Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa


"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. 

Antara tangungjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.

Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.

"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13

Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha

Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangat ialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.

Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu

Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.

Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.

Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.

Keutamaan Mahasiswa

Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.

Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.

Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.

Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.

Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".

Angin perubahan

Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.

Monday 11 June 2012

SELAMAT PULANG KE UniSZA

SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS KEPADA SEMUA MAHASISWA/I  DIPLOMA UniSZA 
BAGI SEMESTER 1 SESI 2012/2013.
  SEMOGA ANDA LEBIH BERKEYAKINAN DALAM MENERUSKAN PENGAJIAN DI UniSZA.
DAN
SELAMAT DATANG KEPADA MAHASISWA DIPLOMA 
KE UniSZA.
SEMOGA BERJAYA SELALU.