Thursday 30 August 2012

SALAM KEMERDEKAAN DAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN 2012



Salam hari kemerdekaan... Sesungguhnya hari kemerdekaan begitu bermakna buat kita semua sebagai rakyat Malaysia. Tahun ini 2012, Negara kita telah mencapai kemerdekaan ke 55 tahun. Hari Merdeka atau dikenali juga Hari Kebangsaan disambut setiap tahun pada 31st Ogos sempena hari kelahiran negara tercinta.




Kita Hayati lagu Sudirman ini...

JANGAN KITA LUPA PADA YANG INI..

PENA MENGUCAPKAN SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA TERCINTA

Sunday 26 August 2012

KELEBIHAN PUASA SUNAT ENAM HARI BULAN SYAWAL

Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.

Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.

Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.

Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.

Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”

Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.

Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.

Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.

Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.

Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.

Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.

Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?

Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.

Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.

Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.

Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.

Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.

Saturday 11 August 2012

KELEBIHAN-KELEBIHAN UNGKAPAN BISMILLAH!!


Bismillah adalah satu kata nama bahasa Arab yang digunakan sebagai nama kolektif keseluruhan frasa Islam berulang “bismillahi-r rahmani-r rahim”. Frasa ini menjadikan rangkap pertama setiap “surah” (atau bab) Qur’an (kecuali untuk surah kesembilan), dan digunakan dalam sejumlah konteks oleh orang Islam.
Sebenarnya terdapat banyak kelebihan-kelebihan yang terdapat pada ungkapan bismillah ini dan mungkin ramai umat Islam mengetahuinya dan mungkin ada juga yang tidak mengetahuinya. Oleh itu, seluruh umat Islam perlulah ungkapkan ungkapan bismillah dalam apa jua yang dilakukan.
Bismillah Miliki Pelbagai Kelebihan
Ayat Bismillah mempunyai pelbagai kelebihan dan keutaman tersendiri. Disebutkan di dalam hadis yang bermaksud :
“Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah s.w.t.”
Dalam satu hadis lain juga dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Tiada seorang hamba yang mengucapkan Bismillah kecuali Allah s.w.t. memerintahkan malaikat yang bertugas mencatat amal manusia untuk mencatat dalam buku amalannya 400 kebaikan.”

6 kelebihan Bismillah ialah :
  • Membaca Bismillah sebanayk 21 kali sebelum tidur, dapat mengelakkan gangguan syaitan, kecurian dan bala.
  • Ucapkan salam dan Bismillah setiap kalli hendak memasuki rumah, Insyaallah rumah tangga akan diberkati dan mendapat keharmonian
  • Bacakan Bismillah sebanyak 41 kali ke telinga orang yang pengsan. Insyaallah akan dapat memulihkannya
  • Jika membaca Bismillah sebanyak 19 kali ketika bertemu orang yang dalam keadaam marah, InsyaAllah dapat melembutkan hatinya
  • Lafaz Bismillah jika diucapkan sebanyak 100 kali dan dihembuskan kepada orang yang berpenyakit selama tiga hari berturut-turut, inysallah penyakitnya akan sembuh
  • Jika mahukan hajat seseorang itu dimakbulkan, dia hendaklah membaca Bismillah apabila selesai solat Asar pada hari jumaat dalam keadaan suci dari hadas dan najis. Hendaklah juga mengadap kiblat sehingggalah matahari terbenam
  • Selain itu sesungguhnya Bismillah mempunyai pelbagai khasiat lain. Antaranya adalah :-
1. Barang siapa membaca Bismillah dan diikuti dengan lafaz, maka dia akan dihindarkan daripada 70 musibah, kesusahan, penyakit akal dan bebal.
2. Sesiapa yang mengamalkan membaca Bismillah sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya dia aman dan bebas daripada syaitan, kecurian, maut yang mengejut dan sebarang bencana.
3. Apabila di baca sebanyak 19 kali apabila bertemu dengan orang yang berpangkat besar, yang sombong dan garang, InsyaAllah akan menjadi lembut.
4. Setiap kali bila memasuki rumah bacalah kalimah bismillah itu sekali, insyaAllah diberkati dan mendapat kebahagiaan dalam rumahtangga tersebut.
5. Apabila dibaca sebanyak 100 kali dan dihembuskan kepada penyakit selama 3 hari berturut-turut, Insyaallah sembuh penyakitnya.
6. Barang siapa membaca Bismillah ketika hendak bersetubuh (jimak) maka anaknya kelak akan menjadi orang yang cerdas dan terbuka hatinya sehingga anak-anak yang soleh.
7. Jika didapati seseorang yang sedang pengsan, maka hendaklah dibacakan Bismillah sebanyak 41 kali pada telinganya, insya-Allah, dia akan sedar dan kembali siuman dengan serta merta.
8. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 313 kali dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebanyak 100 kali pada hari ahad di saat matahari terbit dengan mengadap kiblat.Maka Allah s.w.t. akan menganugerahkan rezeki tanpa diduga sama sekali.
9. Seseorang yang membaca Bismillah sebanyak 786 kali lalu ditiupkan pada air sebelum diberi minum kepada seseorang yang bebal selama tujuh hari sebelum matahari terbit, maka akan lenyaplah kebebalannya dan insya-Allah dia akan mudah hafal terhadap apa yang didengarnya.
10. Sesiapa yang membaca Bismillah sebanyak 50 kali dihadapan orang zalim atau penguasa yang bengis, maka dia akan segera tunduk atau ketakutan.
11. Barang siapa menulis Bismillah 101 kali lalu diletakkan di sawahnya, maka insya-Allah sawah itu akan menjadi subur dan terjaga daripada sebarang bencana.
12. Sesiapa yang menpunyai hajat kepada Allah s.w.t maka sebaiknya dia berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat.
13. Bagi seseorang yang ingin sentiasa dilapangkan dan dipermudahkan rezekinya serta mempunyai keberkatan luar biasa, disegani dan dimuliakan oleh makhluk, maka hendak membaca Bismillah sebanyak 66 kali dengan memanjangkan lafaz jalahannya.
14. Untuk mengubati sesuatu penyakit, boleh diikhtiarkan dengan menulis Bismillah sebanyak 66 kali lalu diberi air diberi minum kepada orang yang berpenyakit dan orang yang terkena cubaan.
15. Untuk mengubati sakit pening pula hendaklah dituliskan lafaz Bismillah sebanyak 21 kali ke atas kertas lalu dikalungkan kepada orang sakit kepala itu.
16. Bagi orang yang mengharap supaya hajatnya dikabulkan oleh Allah s.w.t. dia hendaklah membaca Bismillah selesai sembahyang Asar pada hari Jumaat dalam keadaan suci dari hadas dan najis dan menghadap kiblat sehinggalah matahari terbenam. Kemudian, mohonlah kepada Allah mengenai hajat yang dimintanya, insya-Allah dengan semalam kemurahan dan sifat Rahman dan Rahimnya akan dikabulkan Oleh Allah.
17. Barang siapa yang menulis lafaz Bismillah sebanyak 50 kali dengan huruf jawi lalu dibawa dan pergi ke depan orang zalim, maka dia kan terhindar daripada sebarang niat jahat itu. Ketika menghadapnya, hendaklah dia membaca Bismillah sebanyak 50 kali pula. 
18. Banyak sungguh kelebihan ungkapan bismillah ni dan boleh diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Rugilah kita, jika kita tidak amalkannya..

Wednesday 8 August 2012

Lailatul Qadar..Aku mencariMu..

Daripada Aisyah RA : “Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadhan, baginda SAW menghidupkan malam dengan beribadah, mengejutkan ahli keluarganya bersungguh-sungguh dan uzlah (menjauhi) isteri-isterinya”. (HR Bukhari & Muslim)
 Assalamualaikum wbt.
Begitu pantas masa berlalu dan kini kita sudah berada di fasa terakhir Bulan Ramadhan iaitu Fasa Pembebasan daripada Api Neraka. Sesungguhnya , pada sisa Ramadhan yang terakhir inilah Rasulullah SAW meningkatkan amal ibadahnya lebih hebat daripada kebiasaan Baginda pada bulan-bulan lain dengan Qiamullail, iktikaf dan sebagainya.
Pada 10 hari terakhir ini terdapat fadhilat yang cukup besar lantaran salah satu daripada malamnya merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam Al-Qadr (Lailatul-Qadr). Laylatul Qadr telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) ketika Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)
Beribadah di malam itu dengan ketaatan, solat, tilawah, zikir, doa dan sebagainya sama dengan beribadah selama seribu bulan di waktu-waktu lain. Seribu bulan sama dengan 83 tahun 4 bulan. Betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Malanglah kita sekiranya makin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melakukan shalat malam pada saat Lailatul Qadar karena iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘Alaih)
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Kurangkan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat dewasa kini. Sama-samalah kita penuhilah malam-malam terakhir Ramadhan yang menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa dengan solat Tarawih, Tahajud, Tasbih, membaca Al-Quran, I’tiqaf, zikir, doa, istighfar dan sebagainya. Tentang waktunya,
Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari, Muslim dan lainnya).
Sesungguhnya, Laylatul Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah sebagai ujian kepada kita dalam mencari rahmat dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebaliknya bagi mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka lalai untuk beribadah dan  terlupa promosi istimewa pembebasan daripada azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.