Daripada Aisyah RA : “Apabila masuk malam 10 terakhir Ramadhan, baginda
SAW menghidupkan malam dengan beribadah, mengejutkan ahli keluarganya
bersungguh-sungguh dan uzlah (menjauhi) isteri-isterinya”. (HR Bukhari
& Muslim)
Assalamualaikum wbt.
Begitu
pantas masa berlalu dan kini kita sudah berada di fasa terakhir Bulan
Ramadhan iaitu Fasa Pembebasan daripada Api Neraka. Sesungguhnya , pada
sisa Ramadhan yang terakhir inilah Rasulullah SAW meningkatkan amal
ibadahnya lebih hebat daripada kebiasaan Baginda pada bulan-bulan lain
dengan Qiamullail, iktikaf dan sebagainya.
Pada
10 hari terakhir ini terdapat fadhilat yang cukup besar lantaran salah
satu daripada malamnya merupakan malam yang lebih baik daripada seribu
bulan, iaitu malam Al-Qadr (Lailatul-Qadr). Laylatul Qadr telah
diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam
berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) ketika Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)
Beribadah di malam itu dengan ketaatan,
solat, tilawah, zikir, doa dan sebagainya sama dengan beribadah selama
seribu bulan di waktu-waktu lain. Seribu bulan sama dengan 83 tahun 4
bulan. Betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Malanglah
kita sekiranya makin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun
Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa melakukan shalat malam pada saat Lailatul Qadar karena iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaq ‘Alaih)
Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh
baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari
terakhir Ramadan ini. Kurangkan menonton televisyen atau mengunjungi
pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita
lihat dewasa kini. Sama-samalah kita penuhilah malam-malam terakhir
Ramadhan yang menjadi rebutan para hamba-hamba Allah yang beriman dan
bertaqwa dengan solat Tarawih, Tahajud, Tasbih, membaca Al-Quran,
I’tiqaf, zikir, doa, istighfar dan sebagainya. Tentang waktunya,
Rasulullah SAW bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR. Bukhari, Muslim dan lainnya).
Sesungguhnya, Laylatul Qadr sengaja
dirahsiakan oleh Allah sebagai ujian kepada kita dalam mencari rahmat
dan kasihNya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari
reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian
ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sebaliknya bagi
mereka yang alpa dan lupa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan
aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka lalai untuk
beribadah dan terlupa promosi istimewa pembebasan daripada azab neraka
yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.
No comments:
Post a Comment