FACEBOOK (FB) merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24 tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com.
Oleh demikian, FB mempunyai kelebihan yang perlu digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah serta menerokanya dalam ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu sendiri.
Namun, persoalannya, sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan sebagai medium dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat yang melekakan dan mengurangkan produktiviti masyarakat..???
Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan cabaran baru yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang terbatas kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an.
Oleh yang demikian, umat Islam perlu mula memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak ketinggalan dalam peredaran zaman globalisasi kini.
Antara langkah utama setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi mestilah bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia.
Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita mendisiplinkan diri semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah dengan menggunakan segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall Post, Notes, Pictures Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah kepada pengguna Facebook.
Contohnya, status FB berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111 ,000 pengguna laman sosial itu.
Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang sesuai.
Strategi yang digunakan untuk menyampaikan dakwah perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran semasa.
Penguasaan FB oleh umat Islam mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.
Jika hal ini menjadi kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan minda seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu, penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan.
Sewajarnya, FB boleh dijadikan medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status' tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut dikongsi oleh mereka.
Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa.
FB menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.
No comments:
Post a Comment