Menurut Syeikh Abdul Aziz Bin Bazz, penggunaan inhaler ketika berpuasa tidak membatalkan puasa, kerana yang disedut itu adalah gas atau oksigen dengan menggunakan inhaler atau nebulizer untuk tujuan perubatan. Syeikh Ibnu Taimiyah juga membolehkan selama mana ia tidak membabitkan penggunaan makanan. Begitu juga Ibnu Hazam al-Andalusi berpendapat bahawa suntikan atau sedutan serbuk juga tidak membatalkan puasa.
Inhaler asma tidak membatalkan puasa disebabkan ia hanyalah pressurized gas (Salbutamol) yang menyerap ke paru-paru dan ia bukanlah sejenis makanan. Selain tidak sampai ke purut dan tidak mengenyangkan. Ia hanya digunakan untuk keperluan ubat ketika sakit (kemaslahatan). (Fatawa Arkaan al-Islam, Syeikh Ibnu Soleh al-Uthaimin)
Bagaimana dengan rokok?
Hal ini berbeza dengan rokok kerana hukum batal puasa disebabkan merokok berdasarkan sesuatu yang memberi nikmat, mengenyangkan atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Asap rokok bukanlah minuman atau makanan, tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka jelas hukum menghisap rokok membatalkan puasa. Di sini hendak juga dijelaskan, jika orang berpuasa memasukkan ain’ (benda) ke dalam al-Jauf (berada di bahagian bawah halkum sehingga ke perut) yang mana ia adalah sejenis makanan, minuman, penyegar atau benda yang memberi nikmat pada badan, maka boleh membatalkan puasa seseorang itu.
Akan tetapi bagi orang yang berada di sekitar orang yang merokok, maka dia akan diseliputi dengan asap rokok tersebut lalu tersedut asap rokok (secondary smoker), ia tidaklah membatalkan puasa, kerana sedutan asap tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.
Di dalam hadis Qudsi di mana Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya kecuali puasa, maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh di siang ramadan) kerana Aku.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam sahihnya, no. 1897 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-Azami.
Mankala guru saya Dr Asyraf Bani Kinanah (Dr bahagian Fiqh Di Universiti Yarmouk) ada mengatakan : “Kesemua jenis inhaler asma jika digunakan untuk penyakit asma, maka ia tidak membatalkan puasa.”
Begitu juga pada jenis sakit yang lain, sekiranya dia memerlukan suntikan ubat kerana penyakit berbahaya dan boleh membawa maut jika ia meninggalkannya. Maka dia boleh mengambil ubat tersebut walaupun ketika berpuasa. Wallahu A’lam.
No comments:
Post a Comment