Thursday 14 June 2012

Belajarlah dari sejarah demi masa depan

SEJARAH bukan benda mati. Malah sejarah tidak pernah mati. Tapi sejarah adalah cermin untuk menoleh masa lampau bagi menyuluh masa depan. Sebab itulah orang tua-tua selalu berpesan, belajarlah dari sejarah.

Kalau yang buruk janganlah diulangi, yang baik teruslah ditambah baiknya
.
Kalau menoleh sejarah awal industri filem di Singapura, Melayu hanya di depan kamera dan sedikit sahaja di belakang kamera. Orang Melayu dipancar kemilau bintang, tapi kemilau itu tak lama. Sedikit demi sedikit ia malap dan terus padam.

Yang mengaut untung dari kemilau orang Melayu di Singapura dulu adalah kapitalis Cina dari Hong Kong. Mereka adalah Run Run Shaw dan adiknya datang ke Singapura ketika usia 19 tahun.

Kemudian mereka membuka industri filem Melayu berpusat di Jalan Ampas, Singapura.
Shaw membawa pengarah filem dari India untuk mengarah filem Melayu. Mereka mengambil pelakon bangsawan dan cerita bangsawan untuk mengalih minat orang Melayu kepada filem, yang amat asing ketika itu. Filem ternyata berjaya dan membunuh teater tradisi bangsawan.

Kini Shaw sudah tiada. Tapi harta yang ditinggalkan sebahagiannya disumbangkan dari penerbitan filem di Singapura kepada cucu cicitnya. Mereka hidup mewah kerana kekayaan Shaw tak habis makan tujuh keturunan. Tapi bagaimana pula orang Melayu yang dulunya penuh kemilau di depan kamera? Mereka menyumbang kekayaan kepada kapitalis Cina ini akhirnya hidup dihimpit kesusahan.

Orang Melayu dipergunakan secara terhormat. Mereka didodoikan dengan populariti yang sementara. Tapi kapitalis Cina mengaut keuntungan sepanjang zaman. Sekarang ini kalau kita hendak menonton filem-filem Jalan Ampas, kena bayar berjuta-juta ringgit kepada pemilik hak ciptanya. Padahal itu filem kita.

 kalaulah ketika itu orang Melayu tidak mahu berkerja dengan kapitalis Hong Kong itu, apakah mereka boleh terus mengaut kekayaan dari negara ini? Apabila membaca penderitaan beberapa bintang popular zaman Jalan Ampas pada usia tuanya, Siti fikir kita kena mengambil iktibar daripada sejarah ini.

Bukan menyalahkan generasi pertama seniman filem kita itu. Tapi renungilah sejarah dan usah mengulangi sejarah itu pada masa ini. Kalau di Singapura dulu, orang Cina buat filem Melayu dan bawa balik kekayaan ke negara mereka. Sekarang janganlah biarkan orang lain kaut kekayaan hasil filem Melayu.

Tak usahlah tolong membodohkan Melayu dalam filem Melayu. Kemudian hasilnya memberi untung kepada orang lain, bukan orang Melayu. Siti fikir adalah tidak bermoral mereka yang bersekongkol memberi wajah buruk dan hodoh kepada orang Melayu. Siti fahamlah, kita semua ini kena berkerja untuk menyara keluarga. Tapi taklah sampai sanggup memburuk dan menghodohkan bangsa sendiri. Hasilnya pula tak sebanyak mana.

Kalau orang Melayu hodoh perangainya dalam filem Melayu, bukan tauke filem yang salah. Orang Melayu yang terlibat dalam filem Melayu itu yang salah. Mereka langsung tidak ada patriotik padahal kuasa di tangan mereka. Kalau mereka tidak mahu berlakon atau mengarah filem yang membodohkan Melayu, tauke tidak boleh buat apa-apa. Ini mereka yang lebih-lebih membodohkan Melayu dengan upah yang tidak sepadan.

Orang Melayu yang terlibat dalam filem begini segeralah insaf. Memanglah sekarang ini boleh hidup kaya raya, dapat bonus kereta mewah dan banglo mewah. Tapi itu sahajakah matlamat mereka? Fikirlah sama tentang bangsa Melayu ini.



Kita layan dulu lagu nie..saxophone oleh P.Ramlee

SITI JARUM: Peminat filem Tamil.

No comments:

Post a Comment