Jawapan:Kami masih belajar dan 4 tahun lagi akan menamatkan pengajiaan kami. Kami bersepakat ingin berkahwin awal, iaitu sebelum habis pengajian. Tapi, kenapa hasrat kami dihalang?Kedua-dua belah pihak ibu bapa kami menghalang. Walhal, kami ingin menghalalkan hubungan ini. Bolehkan kami berkahwin secara senyap-senyap? Kami bukan apa, ingin mengelakkan maksiat.
Kenapa ingin tergesa-gesa adik? Mampukah adik menampung keperluan hariannya sedangkan adik masih belajar. Lainlah sekirannya adik telah membuat simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan adik berdua.
Ingat, berkahwin bukan untuk sehari. Dan juga harus ingat, perkahwinan bukan hanya kita berkahwin dengan pasangan kita, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya.
Selain itu juga, kita membesarkan keluarga kita. Kalau sebelum ini, kita hanya ada 3 orang adik, selepas berkahwin, ada 10 orang adik, sebelum kahwin, hanya ada seorang ibu dan seorang ayah, tetapi selepas berkahwin, kita ada dua orang ayah dan dua orang ibu.
Dengan kata lain, keluarga kita membesar. Dengan membesarnya keluarga ini, benda paling utama kena jaga adalah hati.
Jika dengan kahwin senyap-senyap itu boleh menyelesaikan ‘perasaan’ itu, boleh mengelakkan zina, maka itu hanya satu segi. Cuba adik fahami hadis Rasulullah SAW ini:
“Diriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda ! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin.
Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”
Antara faedah yang ketara di sini ialah seseorang itu dapat menjauhkan diri dari perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya.
Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.
Tetapi mengapakah dalam bab ini, kita membelakangkan keluarga yang selama ini membesarkan kita?
Kita sanggup bersama pasangan kita yang hanya dikenali tidak terlalu lama, dan membelakangkan kasih sayang yang selama ini dicurahkan kepada kita sejak kecil?
Wajib Kahwin ialah kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan ke lembah maksiat sedangkan ia seorang yang mampu.
Maksud mampu disini ialah mampu membayar mahar dan nafkah kepada bakal isterinya. Bagaimana adik? Adakah adik berkemampuan?
Perkahwinan bukanlah sehari dua, tetapi kalau boleh sehingga hujung nyawa dan sehingga ke syurga. Jika berkahwinnya dengan tergesa-gesa itu atas alasan kerana tidak mahu terjebak dengan zina atau dengan kata lain, kerana nafsu, maka renunglah kembali.
Selama manakah nafsu itu akan bertahan. Apakah sampai mati? Apakah kesabaran dalam berpuasa itu tidak boleh mengatasi nafsu yang mengawal diri, aduh, sungguh lemah dirimu.
Jika perkahwinan itu dibina atas agama, maka agama tidak akan terlepas dari diri kita sehingga ke syurga kelak. Setiap hari seseorang itu perlukan agama. Agamalah yang membimbing manusia.
Apakah kita mahu membimbing anak-anak dengan nafsu atau agama? Perkahwinan yang dibina di atas kecil hati keluarga, kejayaan rumah tangga yang dibina sangatlah tipis berjaya.
No comments:
Post a Comment